Tuesday, October 6, 2015

Resepi Bihun Singapore

ENTRI 28


Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:   Koleksi peribadi



Beberapa hari yang lepas, saya tiba-tiba teringin untuk menyediakan Bihun Singapore untuk sarapan.  Saya pun kurang pasti kenapa ia diberikan nama Bihun Singapore.  Sebenarnya ia cumalah bihun goreng, tetapi berwarna putih (tidak menggunakan cili langsung untuk menumis).  Menu ini adalah sangat ringkas tetapi amat sedap rasanya.  Mari kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:
1 paket bihun (rendam sehingga lembut dan toskan airnya)
Beberapa sotong dipotong kecil
Beberapa udang dibuang kulitnya
Beberapa keping dada ayam dipotong kecil (boleh digantikan dengan daging)
1/2 batang lobak merah dipotong kecil
Sedikit kobis dipotong kecil
Sedikit air
Minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan tumis (perlu ditumbuk semuanya):
Bawang putih
Lada putih
Udang kering (disangai terlebih dahulu)

Bahan hiasan:
Telur dadar dipotong panjang
Lada merah (dibuang biji dan mayang halus)
Daun ketumbar (dipotong kecil)

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak.  Setelah itu, tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk.  Gaul rata hingga naik bau wanginya.
2.  Masukkan sotong, udang dan ayam/daging.  Kacau sehingga lembut.
3.  Masukkan kobis dan lobak merah.  Kacau sebati.
4.  Masukkan air dan biarkan sehingga sedikit mendidih.  Kacau sebati.
5.  Masukkan bihun dan kacau rata-rata.  Kacau sehingga bihun kelihatan lembut.
6.  Perasakan dengan garam.
7.  Siap untuk dihidang.  Taburkan bahan hiasan di atasnya.

Menu ini amat sesuai dihidangkan kepada anak-anak kecil yang tidak gemarkan makanan pedas.

Selamat mencuba!

0 comments:

Post a Comment