Thursday, October 1, 2015

Konsep Bisnes Secara Dropship

ENTRI 27

Teks:  Rahiza Haszian binti Abdul Rahim
Gambar:  Google



Semakin hari, semakin ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan, untuk menambah sumber pendapatan dan meningkatkan taraf hidup.  Apabila disebut berniaga, akan tergambar cara perniagaan konservatif yang selalu dilihat sebelum ini:  Kedai, simpanan stok, urusniaga keluar masuk, urusan penghantaran dan bermacam lagi ciri-ciri lain.  

Walau bagaimanapun, satu persoalan lain akan timbul, iaitu modal.  Di mana perlu diambil modal yang banyak bagi menanggung sewa kedai, pengambilan stok, kos minyak kenderaan dan bermacam lagi kos lain?  

Bagi yang baru mahu cuba-cuba berniaga, pastinya perkara ini agak menakutkan.  Namun tahukah anda bahawa sebenarnya anda boleh memulakan perniagaan tanpa mengeluarkan sesen pun duit modal?  Apa yang perlu ialah komitmen dan kesungguhan anda dalam mempromosi produk tersebut sama ada secara online ataupun offline.  

Konsep bisnes tanpa modal tersebut dikenali sebagai 'dropship'.  Secara ringkasnya, terdapat 3 watak utama dalam sebuah bisnes dropship, iaitu penjual, pembeli dan pembekal.  Rujuk rajah di atas bagi mendapatkan gambaran tersebut dan perhatikan senarai yang saya kongsikan di bawah.

1.  Pembekal menyediakan produk dan bahan promosi.
2.  Penjual mengiklankan produk tersebut secara offline, ataupun secara online iaitu di media sosial seperti FB, Instagram, Whatsapp, Telegram, Twitter, Wechat, Blog dan lain-lain lagi.
3.  Pembeli berminat untuk membeli dan menghubungi penjual.
4.  Berlaku transaksi perniagaan antara penjual dan pembeli.
5.  Setelah mendapat pengesahan pembayaran, penjual menghubungi pembekal untuk memesan produk dan sekaligus membuat pembayaran.
6.  Pembekal akan menguruskan pembungkusan dan penghantaran kepada pembeli.

Bagaimana penjual menjana pendapatan melalui bisnes dropship?
Adalah melalui komisyen yang diperolehi ketika pembeli membayar barangan tersebut.

Selalunya pembekal akan menetapkan harga kos yang perlu dibayar oleh penjual kepadanya untuk sesuatu barang.  Sesetengah pembekal membenarkan penjual meletakkan harga jualan yang bersesuaian.  Manakala ada sesetengah pembekal pula telah menetapkan harga jualan di pasaran. Komisyen diperolehi apabila setelah pembeli membayar harga jualan tersebut kepada penjual, penjual pula membayar harga kos sahaja kepada pembekal dan menyimpan wang komisyen untuk dirinya.

Contoh:
Harga pembekal = RM 80
Harga jualan  = RM 100
Komisyen diperolehi = RM 20

Justeru, penjual harus bijak memilih pembekal yang menawarkan produk yang mempunyai nilai komisyen yang tinggi.  

Ada sesetengah pembekal memerlukan yuran pendaftaran sebelum penjual boleh menjual produknya.  Ini sebagai wang jaminan komitmen kepada syarikat tersebut.  Namun lebih banyak lagi pembekal yang tidak menetapkan apa-apa syarat kepada penjual.

Latih diri anda dalam memulakan perniagaan secara dropship.  Apabila sudah terbiasa menguruskan perniagaan dropship dan sudah faham selok belok asas perniagaan, barulah boleh mengorak langkah lebih besar sedikit dengan menjadi stokis ataupun agen, dan belajar menguruskan stok pula.  Malah, anda juga boleh mengasaskan pasukan dropship anda sendiri.

Tidak semua bisnes dropship menawarkan kadar keuntungan yang tinggi. Namun begitu, jangan putus asa.  Sebaik-baiknya anda perlu menetapkan sasaran perniagaan setiap hari.

Contoh:
Komisyen bagi setiap produk = RM 3
Sasaran jualan sehari = 5
Jumlah komisyen diperolehi sehari = RM 3 X 5 = RM 15
Jumlah komisyen sebulan = RM 15 X 30 = RM 450

Nilai tersebut adalah cukup baik memandangkan anda tidak perlu mengeluarkan modal langsung.

Apa yang penting ialah komitmen dan semangat juang yang tinggi.  Pastinya harus diiringi dengan sentiasa berasa bersyukur di atas setiap rezeki yang telah ditetapkan olehNya.  
  
Bagaimana? Sudahkah anda faham apa itu konsep berniaga secara dropship?

Sudah faham? Tapi nak bisnes dropship apa ya?

Saya akan ceritakan tentang peluang perniagaan tersebut melalui Akademi Bekerja Dari Rumah dalam entri yang akan datang.

0 comments:

Post a Comment