Thursday, April 23, 2015

Kembali ke dunia WAHM dan SOHO

ENTRI 24

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google



Konsep bekerja dari rumah di Malaysia sudah mula diperkenalkan seawal tahun 2000. Saya turut sama menyertai golongan ini pada tahun 2002 selepas melahirkan anak pertama. Pengalaman tersebut telah diceritakan serba sedikit di sini.
Ketika itu, ramai orang yang pelik bila saya mengatakan saya menjalankan SoHo. Huh? Apa itu SoHo? Tidak terdapat mana-mana kumpulan sokongan SoHo di Malaysia. Lalu, untuk menambah jaringan saya telah menyertai USAHANITA. Saya berasa sangat kecil dan rendah diri kerana kebanyakan rakan-rakan mempunyai ruang perniagaan sendiri (kedai/restoren/butik/kilang dll), manakala saya hanya mempunyai ruang kerja yang kecil di bahagian garaj rumah ayah yang telah diubahsuai menjadi sebuah pejabat. Atas sebab-sebab tertentu, setelah hampir 7 tahun saya kembali ke dunia pekerjaan.
Kini, sekali lagi saya bergelar WAHM yang menjalankan SoHo. Namun situasi kali ini sangat berbeza. Sudah terdapat satu kumpulan jaringan yang aktif saling menyokong bagi suri bergelar WAHM. Saya bernasib baik apabila ketika sedang mencari hala tuju seterusnya, tiba-tiba pengasas ABDR ( Akademi Bekerja Dari Rumah) Puan Masayu Ahmad telah 'Add Friend' saya. Saya pun musykil bagaimana beliau menjumpai profil saya memandangkan profil saya bersifat peribadi (private). Namun kuasa Allah, bertemu juga dan Allah jua yang telah menggerakkan hati saya untuk 'Accept Request' daripadanya. Jarang saya berbuat demikian. Melaluinya, sedikit demi sedikit saya mengumpul maklumat tentang ABDR.
Apakah itu ABDR?
Akademi Bekerja di rumah (ABDR) ialah
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar asas bisnes di atas talian
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar menjana pendapatan hanya dari rumah
> kumpulan sokongan khas untuk suri bekerjaya menjana pendapatan secara sampingan
> kumpulan sokongan untuk mereka bergelar wahm
> platform untuk belajar berbisnes produk fizikal secara dropship dan produk digital ebook dan servis.
Saya telah mendaftar secara rasminya dengan ABDR dengan mengikuti sebuah kelas online yang ditawarkannya di bawah kendalian Cikgu Anys Idayu Zakaria
Saya akan menerangkan lebih lanjut tentang ABDR dalam entri seterusnya.

Aku, Dia & Rezeki

ENTRI 23

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Saya khatam membaca buku ini malam tadi. Dalam kesibukan harian, saya masih memastikan sekurang-kurangnya dapat menghabiskan satu buku dalam masa seminggu.
Buku ini sebenarnya merupakan himpunan pengalaman seorang penjual dadih yang ditulisnya sendiri. Walaupun menggunakan bahasa santai, susunannya sangat teratur. Apa yang menarik, dalam setiap peristiwa yang beliau lalui, dia akan menemukan hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
Saya terpana membaca satu kisah di sebalik musibah. Seorang Tuan Haji telah kehilangan kasutnya di masjid lalu penulis menemuinya sedang menunggang motosikal dengan berkaki ayam. Pastinya kasut itu sangat berharga kerana merupakan hadiah daripada anaknya yang dibeli di luar negara. Namun Tuan Haji berkata, "Kalau kita redha, Allah akan tambah pahala." Allahu... teringat peristiwa diragut minggu lepas. Adakah saya redha? Di tahap manakah keimanan saya? Ada bermacam lagi kisah yang akan membuatkan kita berfikir dan terus berfikir. 
Rakan-rakan yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh berhubung terus dengan penulisnya Abang Long
P/S: Saya tidak diminta pun membuat ulasan ini tetapi catitan ini lahir ikhlas dari hati dan pemerhatian saya. Di saat pasaran buku dilambakkan dengan novel cinta (saya tak kata semua novel cinta itu tidak berkualiti), kita perlu memilih bahan bacaan yang memberi manfaat dan tambah nilai dalam hidup kita. Wallahualam.

Wednesday, April 22, 2015

Bekerja dari Rumah (Work at Home Mom/WAHM)

ENTRI 22

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google



Berkobar-kobar beberapa orang rakan menceritakan hal di pejabat semalam.  Ya, walaupun saya sudah lebih empat bulan berhenti kerja, saya masih berhubung rapat dengan kawan-kawan di sana.  Pelbagai perkembangan telah berlaku, dan ianya bukanlah sesuatu yang positif.  Kebanyakannya sudah hilang semangat dan hanya bekerja bermotifkan gaji semata-mata.  Tiada lagi 'passion' atau minat yang mendalam pada pekerjaan. Saya sangat memahami perasaan mereka kerana saya juga pernah melaluinya dahulu.
Namun, nasihat saya ialah "Jangan berhenti dulu". Saya tau, ada sesetengah daripada rakan yang sangat lelah dengan karenah pejabat dan mendambakan masa yang lebih banyak dengan anak-anak. Manakan tidak! Masa sekarang begitu cepat berlalu. Anak sulung saya sendiri sudah menjangkau umur 13 tahun sedangkan rasanya baru semalam saya melahirkan dia. Tetapi ramai yang risau kerana tidak mampu untuk berhenti kerja pada masa ini. Jadi, cari ilmu dulu, bagaimana untuk kita menjana pendapatan dari rumah. 
Buat persediaan mental dan fizikal sebelum berhenti kerja. Siapa kata bosan duduk di rumah? Percayalah, kerja di rumah tidak akan habis. Dari celik mata bangun tidur, sehingga pejam mata waktu malam. Masa akan sentiasa terisi. Di rumah ini, kita adalah orang yang pertama bangun tidur dan kita juga adalah orang yang akan terakhir sekali tidur. Kadang-kadang rasanya lebih sibuk daripada waktu bekerja dahulu. 
Kurang rakan pergaulan? Mungkin. Tapi itu bukan halangan. Kini semuanya di hujung jari. SMS/Whatsapp/Telegram/Skype/FB dan bermacam lagi. 
Fizikal juga harus kuat, kerana kita perlu menguruskan banyak benda. Berlebih lagi apabila menguruskan anak-anak kecil yang masih bersekolah dan yang belum bersekolah. Kadang-kadang kita turut diajaknya berlari, terlompat-lompat bermain. (Ya, anak sulung saya masih mahu saya melayannya bermain futsal). Nampak remeh. Tetapi itulah dia yang bakal menjadi kenangan abadi untuk diri mereka.
Paling utama, disiplin diri dan disiplin dalam menepati masa. Rancang jadual harian kita. Kalau boleh, malam sebelumnya sudah disenaraikan apakah yang mahu dicapai esok hari. Perlu ada sasaran.
Suri rumah juga perlu meluaskan jaringan. Kalau dulu, ibu-ibu kita berbual di hujung pagar di petang-petang hari. Masing-masing bertukar cerita ataupun juadah. Sekarang dunia makin moden. Dalam lelah menguruskan rumah tangga, kita perlukan sokongan rakan-rakan yang memahami. Siapa lagi yang lebih memahami melainkan mereka yang serupa macam kita juga. Suri rumah yang menguruskan anak-anak tetapi dalam masa yang sama masih gigih membuat pelbagai aktiviti bagi menambah pendapatan. 
Di mana perlu dicari jaringan/kumpulan sokongan tersebut? Saya akan kongsikan dalam entri seterusnya. smile emoticon

Sunday, April 12, 2015

CELEBRITY LASS - Pakar Nyah Bau Badan Dalam Masa 3 Saat

ENTRI 21 

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalam,

Sudah agak lama saya tidak bersiaran.  Kesibukan menguruskan anak-anak dan urusan rumahtangga amat menghimpit ruang masa saya untuk membuka komputer.  Selalunya akses internet dilakukan melalui handphone sahaja.  Walaupun sibuk dan penat, namun hakikatnya saya rasa seronok dan gembira.  Manakan tidak, kini saya dapat menguruskan sendiri semua keperluan anak-anak.  Contohnya, hari ini merupakan hari ulangtahun anak bongsu saya, Nurhannah Nadia.  Saya telah berjaya membuat sendiri kek cawan berhias untuk diberikan kepada rakan-rakan kelasnya.  Satu perkara yang amat jarang dapat dilakukan sebelum ini.  Dulu, semuanya main order saja lah :D

Baiklah.  Hari ini saya ingin kongsikan satu produk baru bernama CELEBRITY LASS.  Suka ke suka? :)

Hakikatnya semua orang ada bau badan.  Terutamanya di Malaysia, kerana keadaan cuaca kita yang panas dan lembab.  Sebenarnya ada beberapa sebab adanya bau badan.  Antaranya ialah: 
  • Faktor makanan, minuman dan habit merokok
    • Kebanyakan makanan kita menggunakan bahan-bahan seperti bawang merah dan putih, serbuk kari dan rempah yang selalunya akan menyebabkan bau badan.  Jenis masakan yang bergoreng juga boleh menyebabkan badan berbau kerana lemak dan minyak yang terkandung di dalamnya.  Minuman seperti kopi dan teh pula mengadungi kafein di mana baunya juga akan meresap ke dalam peluh yang akan menyebabkan badan mudah berbau.  Selain itu, tembakau di dalam rokok dan asapnya juga akan menyebabkan bau badan yang kurang menyenangkan.

  • Hormon yang tidak seimbang
    • Hakikatnya wanita yang menopause, baru melahirkan, atau pun yang sedang dalam haid, selalunya mengeluarkan bau badan yang lebih kuat dari biasa.  Kadang-kadang faktor tekanan (stres) juga menyebabkan ketidakseimbangan hormon.  Bila kita stres, tubuh akan mengeluarkan bau badan yang kuat, dan ini akan menyebabkan orang sekeliling kita pula yang stres hehe...

  • Kegemukan / Obesiti
    • Orang yang gemuk atau mengalami masalah obesiti lebih lagi terdedah dengan masalah bau badan yang agak kritikal.  Seringkali golongan ini mengeluarkan peluh yang lebih banyak.  Jenis pemakanan mereka yang menjadi punca kegemukan juga menyumbang kepada pembentukan bau badan yang kuat.  Jika mereka sedang berusaha untuk kurus, bau badan turut menjadi masalah.  Ini kerana badan mereka terpaksa bekerja lebih daripada biasa untuk meningkatkan metabolisme dalam badan apabila lemak dan bahan toksin akan dipaksa keluar melalui liang peluh.

  • Bakteria yang membiak di kawasan badan yang tersembunyi
    • Apabila berpeluh, terdapat bakteria pada kulit yang akan menimbulkan bau yang agak tidak menyenangkan.  Tetapi selalunya seseorang itu tidak dapat mengesan bau badan sendiri. Jika anda sendiri dapat menghidu bau badan itu, ini bermakna anda mempunyai masalah yang besar.  Sudah tentu rakan dan taulan akan menjauhkan diri.  Ini akan menimbulkan masalah rendah diri dan kurang keyakinan pada diri anda.  Selalunya masalah bau badan timbul apabila bakteria membiak di bahagian-bahagian tersembunyi tubuh anda seperti di bahagian ketiak, celah kelengkang dan kaki. Proses metabolisme pada bakteria akan memecahkan bahan organik yang terdapat pada kulit, maka peluh pun terhasil dan mudah terlekat pada baju atau kasut.
Kebanyakan daripada kita akan memakai 'deodarant' bagi mengatasi masalah bau badan.  Tapi taukah anda sebenarnya penggunaan deodarant boleh memudaratkan kesihatan?  Terutamanya yang bersifat anti-perspirant.   Ia sering dikaitkan dengan kanser payu dara.  Sebenarnya di dalam deodarant anti-perspirant terdapat sejenis bahan kimia bernama 'paraben' yang menggalakkan pertumbuhan sel kanser.  Paraben terdapat bukan sahaja pada deodarant, tetapi juga di bahan-bahan kosmestik lain.  Untuk info lanjut, jom lawati catatan Dr. Zubaidi tentang perkara ini di sini.

Berbeza dengan Celebrity Lass (CL), ia diperbuat 100% daripada bahan semulajadi.  Bahan-bahan yang digunakan ialah tawas, pati mawar, gabungan pati herba dan air suling.  CL bertindak meneutralkan bau badan kita dan menyahkan bau badan dengan mudah, cepat dan selamat.  Hanya tiga langkah mudah:
  1. Titiskan pada tapak tangan
  2. Sapukan pada bahagian berbau
  3. Bau akan hilang dalam masa sepantas 3 saat!
CL juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau di tangan, contohnya seperti bau belacan (hmm.. enaknya sambal belacan), kari kambing, malah bau hanyir selepas menyiang ikan.  Pastikan tangan telah dicuci bersih dan dilap sehingga kering.  Selepas itu, ikut 3 langkah di atas dan bau akan hilang serta merta.

Untuk maklumat lebih lanjut atau sekiranya berminat untuk mendapatkan CL, sila hubungi saya ya.