Tuesday, February 10, 2015

Resepi Ikan Siakap Kukus Chef Wan

ENTRI 20

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Haaa...adakah anda rasa tergoda melihat gambar ini?  Percayalah, ia resepi yang amat mudah dan menghasilkan rasa yang sangat sedap.  Resepi ini adalah satu lagi resepi dalam buku 400 Resepi Terbaik Chef Wan.  Jom lihat bahan-bahan dan cara memasaknya.

Bahan-bahan:
- 1  ekor ikan siakap 500gm
- 2 sudu teh sos ikan
- 1/2 sudu teh tepung jagung
- 1 batang serai dihiris halus
- 5 biji cili merah (dibuang biji dan dihiris halus)
- 2 helai daun limau purut (buang batang di tengah dan hiris halus)
- 1/2 inci halia muda (dikupas kulit dan dihiris halus)
- 2 ulas bawang putih (dikupas kulit dan diketuk)
- 1 tangkai daun ketumbar (dicincang halus)
- 1 batang saderi (dipotong serong pendek-pendek)

Bahan untuk perisa:
- 3 sudu besar jus limau kasturi
- 1 sudu makan sos ikan
- 1 kiub ikan bilis
- 1 sudu teh tepung jagung
- 1 1/2 sudu besar gula
- Garam secukup rasa

Cara-caranya:
1.  Lumur ikan dengan sos ikan dan tepung jagung dan perap selama sekurang-kurangnya 15 minit.
2.  Campurkan kesemua bahan perisa di dalam sebuah mangkuk.
3.  Letakkan ikan di dalam pinggan kukus dan taburkan serai, cili, daun limau purut, halia muda, bawang putih, saderi di atasnya.
4.  Tuangkan bahan perisa di atas ikan itu dan kukuskan di atas air mendidih selama 5 minit.
5.  Angkat, hiaskan dengan daun ketumbar dan ia sedia untuk dimakan.

Monday, February 9, 2015

Cara mudah buka kedai online

ENTRI 19

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google

Assalamualaikum,

Hari ini saya nak kongsikan sedikit penemuan hasil daripada carian dan penyelidikan.  Selama ini saya rasa cemburu melihat portal atau laman web yang menjual barangan.  Senang cerita, kedai online lah.  Walaupun latar belakang pendidikan saya ini daripada jurusan Sains Komputer, tetapi membina sebuah kedai online bukanlah kepakaran saya.

Saya beranggapan pasti sukar nak siapkan satu kedai online.  Dengan reka bentuk yang profesionalnya, dengan penyediaan katalog dan troli cartnya, pendek kata memang sukarlah. Tetapi baru-baru ini saya terserempak satu portal yang menawarkan perkhidmatan kedai online yang menarik.  Cumanya ia menggunakan platform Wordpress, bukannya Blogspot. 

Jom kita tengok.  Mana la tau boleh bermanfaat kan. Klik kat gambar bawah ini ya.

http://www.ashadee.net/go/51190/rahiza75

Sunday, February 8, 2015

Resepi Unik Ayam Asam Chef Wan

ENTRI 18

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Peribadi



Resepi ini sangat sempoi.  Amat mudah dimasak.  Sedap pulak tu.  Saya perolehi daripada buku masakan 400 Resepi Terbaik Chef Wan.  Silalah cuba ya.  

Bahan-bahan:
-  minyak masak
-  1kg ayam (dipotong kecil)
-  1 santan kotak
-  sedikit air asam jawa
-  sedikit daun kesum
-  1 biji terung panjang (dpotong serong)
-  garam dan gula secukup rasa

Bahan pes:
-  10 biji bawang merah
-  4 ulas bawang putih
-  2 batang serai diketuk dan dihiris
-  1 inci kunyit hidup
- 4 helai daun limau purut (buang batang di tengah daun)
-  5 sudu besar cili kisar
-  1 sudu besar ketumbar

Cara-caranya:
1.  Satukan semua bahan pes dan kisar sehingga halus.
2.  Panaskan minyak dengan api kecil.  Masukkan pes dan tumis hingga wangi.
3.  Masukkan ayam dan kacau rata selamat lebih kurang 10 minit.  Tambahkan air sedikit untuk elak ayam itu melekat.
4.  Masukkan santan dan air asam jawa.  Tambahkan air hingga menutupi ayam.  Kacau rata dan renehkan selama 30 minit.
5.  Masukkan daun kesum dan terung.  Tambahkan gula dan garam secukup rasa.  Kacau rata dan renehkan lagi sehingga terung lembut.
6.  Siap dimasak dan hidangkan bersama nasi panas.

Saturday, February 7, 2015

Separuh penuh atau separuh kosong?

ENTRI 17

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Google


Assalamualaikum,

Pernah tak anda melalui satu situasi yang membuatkan anda rasa sangat susah hati dan hampir berputus asa? Segala-galanya akan terasa sangat berat.  Walau apapun nasihat yang diterima, anda akan tetap memandang hambar. 

Sebenarnya, apa jua situasi yang hadir dalam hidup kita bergantung kepada cara bagaimana kita melihat situasi tersebut.  Perspektif mempengaruhi keseluruhan pandangan kita.  Kita tidak boleh melihat hidup kita secara objektif semata-mata kerana manusia merupakan ciptaan yang subjektif.  Setiap individu mempunyai personaliti yang tersendiri dan personaliti tersebut mengubah persepsi kita.  Karektor yang introvert mempunyai pandangan lain daripada extravert.  Manakala orang yang optimis juga mempunyai pandangan lain daripada golongan pesimis.

Kadang-kadang kita mengeluh... "aku selalu gagal...apa pun yang aku buat semuanya tak jadi."  Jika ini yang selalu diulang-ulang, maka tidak hairanlah kalau kita gagal.  Kita tidak akan berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keyakinan kerana kita sendiri telah menetapkan yang kita akan gagal.  Sebaiknya kita berfikir sebegini, bukan semua yang kita lakukan itu akan mengikut acuan yang kita kehendaki.  Kadang-kadang menjadi, kadang-kadang gagal.  Hanya dengan berfikir sebegitu, secara otomatik kita akan berusaha lebih gigih bagi memastikan usaha itu berhasil.

Lihat di gambar.  Apa yang kita nampak di situ?  Adakah gelas itu separuh penuh? Atau adakah ia separuh kosong?  Orang yang pesimis akan melihatnya sebagai separuh kosong, manakala orang yang optimis akan melihatnya sebagai separuh penuh. Sikap optimis akan mencetuskan pula sikap opportunis yang mencipta pelbagai peluang manakala sikap pesimis akan membunuh setiap peluang yang mungkin ada dan hanya melihat masalah sahaja. Dengan hanya melihat gelas itu sebagai separuh penuh akan mendorong rasa gembira yang sekaligus akan membawa kepada hidup yang lebih sihat dan bahagia.

Ada beberapa cara untuk kita memenuhkan gelas tersebut.  Antaranya ialah:
1.  Meletakkan matlamat apa yang kita hendak capai dan fokus serta tekun mengejar matlamat itu.
2.  Keluar daripada zon selesa dengan berani mengambil risiko bagi mengejar cita-cita dan impian.
3.  Menukar masalah kepada peluang dengan melihat dari tetingkap (frame) yang berbeza.
4.  Menjauhkan diri daripada mereka yang bersifat pesimis dan lebih bergaul dengan mereka yang berfikiran positif.
5.  Mengubah perawakan dan penampilan kepada gaya seorang optimis.  Stand tall, chin up, senyum dan bercakap dengan penuh keyakinan, sama seperti gaya seorang yang telah berjaya.  Dengan sendirinya aura tersebut akan menarik mereka yang sama positif dan beraspirasi yang sama.  Lebih banyak peluang juga akan datang kepada anda.
6.  Cuba melihat jenaka dalam setiap situasi, walaupun situasi itu sukar.  Apabila kita ketawa, lebih banyak hormon endorfin akan dirembeskan.  Ini akan membantu kita mengurangkan kesakitan, meningkatkan sistem imunisasi tubuh dan mengurangkan stres.
7.  Bersenam atau bersukan kerana secara psikologi ia akan mencetuskan rasa seronok dan gembira (feel good) dalam diri.  Anda akan lebih bersedia untuk melihat setiap cabaran secara optimistik.

Jadi, tukarkan setiap aura negatif itu kepada aura yang positif.  Insya Allah, pelbagai perkara yang baik pasti akan datang.  Seperti kata Prof. Muhaya, positif menarik positif, manakala negatif akan menarik negatif.  Wallahualam.

Friday, February 6, 2015

Resepi Ayam Goreng Rangup Ala KFC

ENTRI 16

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Sendiri


Pagi ini ketandusan idea untuk memasuk.  Lalu saya pun bertanya di group Whatsapp kawan-kawan dan meminta idea.  Seorang rakan, Siti Masrina Sulong telah memberikan saya resepi ini.  Memang sedap dan rangup.  Terima kasih Mas!

Bahan-bahan:
600gm ayam dipotong
minyak masak secukupnya untuk kaedah 'deep frying'

Bahan pes:
- 10 cili kering (direndam dan dibuang biji)
- 2 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
- 2cm kunyit
- 1 batang serai
- 3 helai daun limau purut
- 1/2 sudu teh lada hitam
- 1/2 sudu garam

Campuran salut:
- 2 biji telur (dipukul)
- tepung serba guna

Cara-caranya:
1.  Kesemua bahan pes dikisar sehingga halus dan digunakan untuk memerap ayam sekurang-kurangnya selama satu jam di dalam peti sejuk.
2.  Panaskan minyak masak.
3.  Masukkan setiap ketul ayam ke dalam telur yang telah dipukul.  Kemudian salutkan dengan tepung serba guna.
4.  Gorengkan ayam sehingga kekuningan dan rangup.
5.  Angkat dan golekkan di atas tisu bagi membuang lebihan minyak masak.
6.  Sedia untuk dimakan begitu sahaja bercecah sos atau bersama nasi panas.

Thursday, February 5, 2015

Jangan Suka Bertangguh

ENTRI 15

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim

Salah satu sikap yang paling merugikan ialah sikap suka bertangguh.  Sebagaimana kata pepatah Melayu, 'Masa itu emas'.  Pepatah Inggeris pula mengatakan, 'Time is money'.  Tidak kiralah pepatah mana pun, pokoknya sikap itu sangat merugikan diri sendiri.

Sedari kecil, ibu bapa perlu menanamkan sifat jangan suka bertangguh (procrastination) di dalam diri anak-anak.  Seringkali apabila kita memanggil mereka, atau mengarahkan mereka berbuat sesuatu, secara spontan jawapan yang akan kita dapati ialah 'nantilah', 'sekejap' atau 'tunggu dulu'.  Kadang-kadang rasa geram juga di hati ini.  Padahal perkara yang disuruh itu tidaklah sesukar mana pun.  Contohnya mematikan suis televisyen yang tidak ditonton, ataupun menutup langsir tingkap di rumah.

Dulu-dulu, saya pun bersikap begitu juga.  Sehinggalah suatu hari, saya terbaca satu buku cerita kanak-kanak tentang hal ini.  Saya ingat lagi, tajuk buku itu ialah 'Tunggu sekejap'.  Buku itu mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang amat suka bertangguh apabila ibu bapanya atau guru menyuruh dia melakukan sesuatu.  Sehinggalah pada suatu hari, ibunya menyuruh dia menutup sangkar burung kesayangannya yang terbuka sedikit kerana khuatir dimakan oleh kucing mereka.  Seperti biasa, dia mengatakan 'Tunggu sekejap'.  Tau-tau, burung kesayangannya telah pun mati digigit oleh si kucing.  Selepas itu barulah dia merasa menyesal yang amat.  Barulah dia sedar bahawa sikap bertangguh itu adalah sangat merugikan.

Saya juga menghadapi masalah yang sama dengan anak-anak saya.  Baik si abang, mahupun si adik.  Apabila disuruh, ada sahaja alasan mereka.  Paling bengang jika di antara mereka saling tolak menolak untuk melakukannya.  Memang boleh mendatangkan marah!  Laju saja suara ini nak meninggi.  (Seringkali memang terlepas juga tinggi suara).  Tapi saya selalu mengingatkan diri.  Seperti yang selalu dibaca tentang komunikasi bersama anak-anak, mereka memang tidak akan terus mendengar arahan.  Namanya saja sudah kanak-kanak.  Maka. tahap fikiran mereka juga bukan seperti kita orang dewasa yang boleh terus mencerna, menghadam dan seterusnya bertindak sebagaimana patut.  Kanak-kanak perlu diingatkan secara berulang-ulang dengan berhemah.

Tidak kira siapa pun anda, buanglah sikap suka bertangguh ini.  Sebagai pelajar, jangan bertangguh mengulangkaji pelajaran sehingga hari peperiksaan.  Sebagai pekerja pula, jangan bertangguh menyiapkan tugasan sehingga tiba dateline.  Sebagai ahli perniagaan, setiap saat amatlah berharga kerana ia boleh menentukan jatuh bangun perniagaan anda.

Wednesday, February 4, 2015

Hiking Sambil Berzikir

ENTRI 14
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar: Koleksi peribadi


Salah satu hobi yang semakin digemari ramai ketika ini ialah mendaki gunung.  Saya sendiri pernah mencuba hobi ini kira-kira 4 bulan yang lepas apabila mendaki Gunung Pulai bersama-sama suami dan anak-anak.  Memang seronok!  Selain daripada dapat meluangkan masa bersama-sama, aktiviti ini juga dapat meningkatkan stamina dan tahap kesihatan.

Ketinggian Gunung Pulai hanyalah 2,146 kaki sahaja.  Tetapi oleh kerana itu merupakan pengalaman pertama kami anak-beranak mendaki gunung, perjalanan naik sahaja telah mengambil masa selama kira-kira 4 jam.  Banyak kali juga kami berhenti untuk melepaskan lelah.

Sepanjang pendakian, kami menikmati suasana hutan yang sangat asing bagi kami.  Pelbagai flora dan fauna dapat dilihat.  Di sinilah terletaknya apresiasi alam dan rasa bersyukur dan kagum di atas kekuasaan Allah dan keindahan alam ciptaanNya.

Sebenarnya ada satu lagi cara untuk menikmati keindahan alam itu, iaitu mendaki sambil berzikir dan mengingati Allah.  Sambil-sambil itu, kita juga boleh mendengar ayat Al-Quran dan terjemahannya.  Berada di tengah-tengah hutan, mungkin rasa insaf dan kecil itu akan meresap lebih jauh ke lubuk hati kita.

Selalunya para pendaki gunung lebih gemar mendengar lagu di Ipod melalui earphone.  Apa kata kita tukar trend itu dengan mendengar ayat suci Al-Quran dan zikir ketika mendaki.

Dapatkan Radio Digital Islamik.  Dengan hampir 500 fail mp3 Islamik, semoga pendakian akan lebih mudah, lancar, dilindungi dan diberkati Allah.  Saiznya yang kecil (hanya sebesar tapak tangan) membuatkannya mudah disimpan di poket dan dibawa ke mana sahaja.  Harganya juga jauh lebih murah daripada Ipod. 


Monday, February 2, 2015

Hubungan Mata (Eye Contact)

Entri 13
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google

Pepatah Melayu ada berbunyi begini,  'dari mata turun ke hati'.  Pepatah Inggeris pula mengatakan 'the eyes are the windows of the soul'.  Di sini jelas menunjukkan kepentingan pandangan mata yang merupakan satu peralatan komunikasi di mana ia akan menghantar pelbagai isyarat non-verbal.

Sekali lagi saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika bekerja di UTMSPACE.  Sebagai seorang pengurus, saya perlu berurusan dengan pelbagai pihak, sama ada staf bawahan mahupun di peringkat pengurusan.  Sesekali saya juga perlu berurusan dengan orang luar seperti pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia atau pihak pembekal.

Saya dapati, perbincangan akan lebih mudah dan telus serta mudah mencapai kata putus apabila kita membuat hubungan mata dengan orang yang dilawan bercakap. Apabila kita melihat tepat ke mata seseorang, itu menyampaikan mesej bahawa kita berminat dalam perbincangan itu dan juga menandakan bahawa kita menghormatinya.  Ia juga menggambarkan rasa yakin dalam diri. Sebaliknya, jika kita melarikan pandangan mata daripadanya, ia menggambarkan seolah-olah kita tidak ikhlas dalam mengutarakan pendapat kita.  Ia juga menggambarkan maksud berbohong, tidak selesa dan perasaan bersalah.

Begitu juga apabila kita berkomunikasi dengan anak-anak.  Pakar kanak-kanak sering mengingatkan ibu bapa supaya memandang tepat ke mata anak ketika bercakap dengannya.  Ini menunjukkan anda serius apabila menggariskan apa-apa peraturan kepadanya, ataupun menunjukkan yang anda jujur dan ikhlas apabila menyatakan anda sangat sayang kepadanya.  Malah, ibu bapa juga diminta untuk merendahkan diri mereka secara fizikal supaya kedudukan mata mereka adalah setara dengan kedudukan mata anak apabila berbicara.

Teknik hubungan mata ini juga sering diguna pakai oleh pihak polis dan pegawai penyiasat apabila menyoal siasat penjenayah atau orang yang disyaki. 


Sunday, February 1, 2015

Resepi Ayam Masak Kicap Gaya Ummi

Entri 12
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Anak bongsu saya, Hannah sangat gemar makan lauk ini.  Sekiranya saya masak lauk ini, dia memang sudah tidak akan pandang makanan lain.  Cara memasaknya agak mudah dan mengambil masa tidak sampai 20 minit.  Cubalah ya.

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam dipotong kecil
Kunyit serbuk
Garam
Minyak masak
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
* bawang merah, bawang putih dan halia dimayang
Rempah penumis (bunga lawang, cengkih, kulit kayu manis dan buah pelaga)
2 batang serai (dipotong dan diketuk)
Kicap masin
Sos cili
Sos tomato
Serbuk kari
Lobak merah (dipotong bulat)
Batang saderi (dipotong serong)
Air
3 biji lada merah (dibelah 2 memanjang)

Cara-caranya:
1.  Gaul rata serbuk kunyit dan garam pada ayam.
2.  Panaskan sedikit sahaja minyak masak.  Masukkan ayam dan gaul rata.  Tutupkan kuali dan kecilkan api. Sesekali buka penutup dan gaul rata lagi.
3.  Apabila ayam sudah separuh masak, masukkan bahan yang telah dimayang, rempah penumis dan serai.  Besarkan sedikit api dan gaul rata sehingga naik bau.
4.  Masukkan kicap masin, sos cili, sos tomato, serbuk kari (kuantiti mengikut sesedap rasa).  Gaul rata dan kemudian masukkan sedikit air.
5.  Biarkan seketika hingga sedikit mendidih.
6.  Masukkan lobak merah dan batang saderi.  Gaul dan biarkan sehingga empuk.  Tambah sedikit air sekiranya kuah menjadi terlalu pekat.
7.  Masukkan lada merah.  Gaul sebentar selama 1 minit sahaja.  Siap dan hidangkan bersama nasi panas.

Yummy!